Selasa, 30 November 2010

Mari Berukhwah, Mari Berdakwah!

Mengapa Perlu Menulis?
Ada satu sebab yang perlu semua orang tahu, bahawa bidang penulisan ini sangat penting. Sama pentingnya dengan bidang yang lain iaitu dakwah. Apabila niat menulis kerana ingin berdakwah, maka seseorang itu akan telus dalam berfikir dan menyampaikan pesanan agama kepada orang lain. Menulis juga dapat mengeratkan ukhwah dalam berdakwah.
Suatu ketika, saya bekerja di meja wartawan Majalah Anis. Seorang remaja wanita yang tidak dikenali telah menghantar sepucuk surat, menyatakan keharuannya atas artikel yang ditulis oleh saya berkenaan Rumah Perlindungan Raudhatus Sakinah. Menurutnya, artikel itu telah membantunya untuk menyelesaikan masalahnya yang agak berat. Kami berhubung melalui surat dan saya menghadiahkan remaja ini Novel Ladang Hati Mustika sebagai tanda perkenalan. Setahun selepas itu, saya bertandang ke Raudhatus Sakinah mengikut teman yang mengajar di sana. Dan alangkah terharunya, saya berkesempatan berjumpa adik remaja yang sering mengutus berita sebelum ini. “Kak Ummu, Tuhan telah mendengar doa saya untuk berjumpa dengan Kak Ummu. Sejak saya masuk ke rumah ini, saya selalu berdoa agar suatu hari Kak Ummu datang ke sini. Tulisan akak menguatkan hati saya..” katanya. Saya berasa malu dengan Tuhan. Ketika menulis, saya main-main tanpa memikirkan bahawa tulisan itu nanti dihadam orang lain. Daripada peristiwa ini, saya mengambil iktibar bahawa setiap tulisan perlu datang dari hati penulis. Dan ia adalah dakwah bilhikmah lewat pena.
Pembaca biasanya akan menjadi rakan kepada penulis. Walaupun mereka tidak pernah berjumpa dengan penulis, mereka telah menerima pemikiran dan pandangan penulis lewat karya-karya yang ditelaah. Bagi pembaca yang fanatik, tidak mustahil ia akan mencari peluang untuk bertemu dengan penulis yang dikaguminya. Selepas saya menulis artikel tentang penulis novel Ayat-Ayat Cinta (AAC), Ustaz Habibur Rahman el-Shirazy atau Kang Abik dalam Majalah Anis, ramai pembaca menghubungi saya bertanyakan alamat dan nombor telefon penulis tersohor itu. Selepas novel AAC, Kang Abik mampu mengumpul pembaca setianya dari pelbagai negara dan setiap kali karyanya diterbitkan, ia menjadi sebuah fenomena seperti novel Ketika Cinta Bertasbih dan terbaharu, Bumi Cinta.
Pembaca merupakan aset dakwah kepada penulis. Apabila wujudnya hubungan penulis-pembaca, pengisian dakwah akan lebih cepat diterima dan mengetuk hati. Namun begitu, sebagai penulis, hendaklah mempunyai akhlak yang baik agar selari dengan pengisian ilmu yang diserukan kepada pembaca.
Jangan Takut Memulakan
Setelah beberapa minggu kelas berlangsung, beberapa pelajar telah menghantar karya mereka kepada saya. Saya dapat mengesan bahawa antara mereka ada yang mempunyai bakat besar jika diasah dan digilap. Saya memilih satu cerpen yang dihasilkan seorang pelajar dan membacakannya di hadapan kelas. Cerpen itu sungguh mengharukan. Kisah seorang wanita Cina yang mendapat hidayah Islam setelah melalui pelbagai cabaran hidup. Saya mengesani bahawa cerpen itu ada kaitan dengan pelajar tersebut kerana ia ditulis dengan gambaran yang lengkap. Terkaan saya tepat selepas pelajar tersebut meangakui cerpen itu adalah kisah hidup ibunya.
“Kita tidak tahu, apakah dengan sebaris puisi kita dapat menyentuh perasaan orang lain untuk berubah menjadi lebih baik? Tugas kita hanyalah menyampaikan. Jadi, tujuan antum semua belajar Penulisan Dakwah ini adalah memperlajari teknik menulis. Mungkin suatu hari nanti, antum diminta oleh mana-mana organisasi untuk menulis novel, cerpen atau skrip drama berunsurkan dakwah. Kalau bukan antum yang belajar tentang agama, siapa lagi yang nak diharapkan menyebarkan Islam lewat penulisan?”
Saya teringatkan pesan Hamka bahawa penulis mempunyai dua kenikmatan, pertama kenikmatan apabila karyanya dibaca orang, yang kedua kenikmatan selepas penulis itu meninggal dunia, jika penulisannya baik maka akan sentiasa mengalirlah pahala kepada si penulis itu. Insya Allah!